fb fb fb fb fb

Pempengaruh bantu suntik ekonomi digital melalui bisnes dalam talian

FUZHOU, 23 Mei - Ekonomi digital mampu meningkatkan ekonomi masyarakat melalui penggunaan platform secara dalam talian, kata Pengasas Redspot Media, Max Lee.

Lee berkata penggunaan digital tanpa had sempadan itu mampu membantu pempengaruh dalam memastikan pemasaran produk mereka sekali gus menjana pendapatan serta ekonomi perniagaan.

Katanya, konsep perniagaan dalam talian lebih luas dan kompetitif dengan memiliki kepelbagaian jenis produk selain perniagaan digital menepati kualiti standard yang diperlukan.

“Sebagai contoh pelanggan akan sentiasa menggunakan platform secara dalam talian untuk membeli sesuatu produk -- dan media sosial ini mampu memberikan kredibiliti kepada pembeli.

"Sebagai contoh produk Malaysia yang tiada jenama dipromosi oleh pempengaruh, ini sekali gus dapat memberi keyakinan kepada pelanggan untuk membeli produk tersebut seterusnya dapat dipasarkan ke peringkat global,” katanya ketika bercakap dalam sesi Persidangan Pempengaruh Dalam Talian China-ASEAN ke-2 di sini hari ini.

Beliau memberi contoh ekonomi digital antara ASEAN dan China bukan sahaja dalam segi import barangan tetapi turut di eksport untuk pasaran ke negara China.

"Dengan kemajuan teknologi internet, ekonomi digital akan menunjukkan peningkatan lebih tinggi pada masa akan datang di antara kedua-dua pihak," katanya lagi.

(Pengasas Redspot Media, Max Lee)

Persidangan Pempengaruh Dalam Talian ASEAN-China ke-2 berlangsung bermula Jumaat lalu hingga 28 Mei ini.

Persidangan itu dihadiri oleh Diplomat ASEAN di China, wakil media tempatan dan antarabangsa termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta pempengaruh dalam talian dari China dan negara ASEAN.

Persidangan memfokuskan kepada ekonomi digital, budaya dan pelancongan selain menyasarkan untuk berkongsi pencapaian kerjasama antara China-ASEAN demi pembanguna masa hadapan.

Persidangan kali ini merupakan anjuran bersama Persatuan Diplomasi Awam China, Pusat ASEAN-China, Global Times Online, Bahagian Perdagangan Wilayah Fujian, Pejabat Hal Ehwal Luar Kerajaan Tempatan Fujian dan Fuzhou Gucuo Co. Ltd.

Media Baharu