fb fb fb fb fb

Pemotongan dana AS: OCHA kurangkan 20 peratus kakitangan

Tom Fletcher, Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan (OCHA) menghadiri sidang media di Geneva. / Foto REUTERS

NEW YORK, 12 April – Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) akan mengurangkan 20 peratus daripada kira-kira 2,600 kakitangannya, menurut ketuanya, Tom Fletcher pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat berikutan "gelombang pemotongan yang kejam", termasuk pengurangan besar dana daripada kerajaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump.

“Situasi yang kita hadapi kini adalah paling sukar dalam sejarah misi OCHA dan sistem yang kami selaraskan,” tulis Fletcher dalam surat yang dihantar Khamis lalu, dengan petikannya turut dimuat naik ke laman web rasmi pejabat berkenaan pada Jumaat.

Jelasnya, bagi tahun fiskal 2025, belanjawan keseluruhan OCHA berjumlah kira-kira AS$430 juta, namun kini berdepan kekurangan dana hampirAS $60 juta.

Fletcher berkata, OCHA akan mengurangkan birokrasi dan lapisan pelaporan serta mengurangkan jawatan kanan secara ketara untuk memastikan tindak balas yang dinamik di lokasi operasi.

Buat masa ini, OCHA beroperasi di lebih 60 negara. Namun, pemotongan terkini akan menjejaskan operasi mereka di Cameroon, Colombia, Eritrea, Iraq, Libya, Nigeria, Pakistan, Turki dan Zimbabwe.

Sejak Februari lalu, OCHA telah melaksanakan langkah penjimatan dalaman untuk menjimatkan AS$3.7 juta, namun jumlah itu masih belum mencukupi.

Krisis dana itu semakin memburuk selepas Presiden Donald Trump mengarahkan pembubaran Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) awal tahun ini.

Pentadbirannya telah memansuhkan 83 peratus program kemanusiaan yang dibiayai oleh USAID. Agensi tersebut mempunyai belanjawan tahunan sebanyak $42.8 bilion, mewakili 42 peratus daripada jumlah bantuan kemanusiaan global.

OCHA menyelaras usaha bantuan PBB dan memberikan laporan terus dari zon konflik untuk "mengangkat suara mereka yang terjejas krisis", menurut laman webnya.

Ia terus aktif dalam memberikan bantuan kemanusiaan di kawasan seperti Ukraine, Gaza, Sudan dan wilayah konflik lain.

Namun, Fletcher menegaskan OCHA kini berdepan "pilihan sukar" yang tidak bermaksud keperluan kemanusiaan telah berkurangan.

“Kami amat percaya pada apa yang kami lakukan. Tapi kami tidak boleh terus lakukan semuanya,” katanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD