fb fb fb fb fb

Pemimpin lubnan desak AS pastikan Israel berundur sepenuhnya dari Selatan Lubnan

Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati/Foto Reuters

BEIRUT, 8 Februari - Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati, pada Sabtu menggesa Amerika Syarikat (AS) memastikan Israel berundur sepenuhnya dari wilayah selatan Lubnan yang didudukinya sebelum 18 Februari, selaras dengan perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Washington dan Paris, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Dalam pertemuan dengan Timbalan Utusan Khas AS bagi Timur Tengah Morgan Ortagus di Beirut, Mikati turut menuntut supaya kemusnahan sistematik bandar dan kampung dihentikan.

Beliau menekankan keperluan untuk melaksanakan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk menyelesaikan pertikaian sempadan di sepanjang Garisan Biru, menurut kenyataan pejabatnya.

Mikati menegaskan bahawa pematuhan terhadap resolusi antarabangsa adalah penting bagi menstabilkan rantau ini, khususnya di selatan Lubnan.

Sementara itu, Ortagus turut bertemu bakal Perdana Menteri Nawaf Salam, yang menggesa AS meningkatkan tekanan terhadap Israel bagi memastikan pengunduran penuh dari wilayah Lubnan yang diduduki menjelang tarikh akhir 18 Februari tanpa sebarang kelewatan, menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan.

Salam juga menekankan kepentingan kerjasama dengan AS dan masyarakat antarabangsa bagi menyokong pemulihan, pembinaan semula dan kestabilan jangka panjang Lubnan.

Ortagus mengulangi sokongan AS terhadap kerajaan baharu Lubnan serta komitmen Washington terhadap agenda reformasi Salam, yang memberi tumpuan kepada penyusunan semula sektor kewangan, kehakiman dan pentadbiran. Beliau turut menyatakan harapan agar kerajaan baharu dapat dibentuk dalam masa terdekat. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF