GAZA, 8 Februari - Sorakan meriah menyambut bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan di Khan Younis, Gaza, dan Ramallah, Tebing Barat yang diduduki Israel pada Sabtu.
Sebagai pertukaran bagi pembebasan tebusan, Israel membebaskan 183 tahanan Palestin pada hari sama.
Antara mereka termasuk individu yang disabitkan dengan serangan yang mengorbankan puluhan orang serta 111 tahanan yang ditahan di Gaza sepanjang perang.
Ramai tahanan yang dibebaskan dilihat dalam keadaan kesihatan yang lemah dan sebahagian daripada mereka mengadu mengalami layanan buruk.
Kumpulan hak asasi manusia telah melaporkan pelanggaran serius terhadap tahanan Palestin di pusat tahanan Israel sejak bermulanya perang di Gaza.
Tentera Israel kini sedang menyiasat beberapa kes dakwaan penderaan tetapi menafikan wujudnya penyalahgunaan secara sistematik di dalam kem tahanannya. - REUTERS