fb fb fb fb fb

Pembubaran USAID: Kesatuan pekerja AS saman pentadbiran Trump

Foto Reuters

WASHINGTON, 7 Februari- Kesatuan pekerja kerajaan di Amerika Syarikat (AS) dan persatuan pekerja perkhidmatan luar negara memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump pada Khamis bagi membatalkan pembubaran agresif Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID).

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Persekutuan Washington D.C. oleh American Federation of Government Employees (AFGE) dan American Foreign Service Association (AFSA).

Ini bertujuan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang tindakan yang didakwa sebagai "tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang" serta telah mencetuskan krisis kemanusiaan global.

Antara tindakan yang dipersoalkan ialah arahan Presiden Donald Trump pada hari pelantikannya, yang membekukan semua bantuan luar AS.

Arahan tersebut diikuti dengan keputusan Jabatan Negara untuk menghentikan projek USAID di seluruh dunia, selain gangguan sistem komputer agensi dan pemberhentian kakitangan secara tiba-tiba.

"Semua kakitangan tetap USAID akan diletakkan dalam cuti pentadbiran secara global, kecuali mereka yang ditugaskan untuk fungsi kritikal, kepimpinan teras dan program tertentu yang ditetapkan," menurut kenyataan di laman web rasmi USAID pada awal pagi Jumaat.

Menurut sumber yang memetik rancangan pentadbiran Trump, hanya kurang daripada 300 kakitangan akan dikekalkan di agensi itu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM