JAKARTA, 2 Disember - Pembalakan dan penerokaan sumber asli secara berleluasa didakwa menjadi punca utama banjir besar yang melanda Pulau Sumatera minggu lalu, selepas ribut tropika membawa hujan lebat luar biasa, menurut kumpulan pencinta alam tempatan.
Lebih 600 orang disahkan terkorban akibat kejadian tanah runtuh dan banjir kilat, berdasarkan angka rasmi pihak berkuasa.
“Insiden ini bukan bencana alam, tetapi bencana ekologi akibat pengurusan sumber asli yang lemah oleh kerajaan,” kata Ketua Advokasi Alam Sekitar, Forum Indonesia untuk Lingkungan Hidup (WALHI) Sumatera Barat, Tommy Adam, kepada Reuters.
Isu pembalakan telah lama membayangi Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara. Walaupun usaha pemulihan dilakukan, negara kepulauan itu terus bergantung kepada hasil sumber alam bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Dengan jumlah hujan yang tinggi, kawasan hutan yang sepatutnya berfungsi sebagai ‘span gergasi’ di kawasan hulu tidak lagi berupaya menahan air, menyebabkan kayu balak hanyut hingga ke muara,” jelas Tommy.
Data Global Forest Watch menunjukkan wilayah Sumatera Utara kehilangan 1.6 juta hektar litupan pokok antara 2001 hingga 2024, bersamaan 28 peratus daripada jumlah litupan pokok pada tahun 2000. Angka itu meningkat dengan lebih ketara apabila keseluruhan pulau diambil kira.
Menurut pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, aktiviti penerokaan hutan bermula sejak akhir 1960-an.
“Hutan mula diteroka untuk kayu balak. Selepas kayu berkualiti tinggi habis dieksploitasi, hutan seolah-olah hilang nilai ekonomi pada pandangan masyarakat,” katanya.
Kementerian Perhutanan serta Kementerian Alam Sekitar Indonesia tidak memberi maklum balas terhadap permintaan ulasan oleh Reuters.
“Kini hanya 25 peratus tanah Sumatera masih diliputi hutan, bersamaan 11.7 juta hektar. Ini menjadikan Sumatera pulau yang mengalami kehilangan hutan paling besar di Indonesia,” kata Gaveau.
Penduduk Padang, Yusneli, 43, turut melahirkan kebimbangan melihat timbunan kayu yang memenuhi pesisir pantai.
“Sebelum ini hanya sedikit. Sekarang terlalu banyak,” katanya.
Media tempatan melaporkan Menteri Alam Sekitar Indonesia akan memanggil lapan syarikat yang beroperasi di kawasan terjejas di Batang Toru untuk memberi penjelasan mengenai aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan sawit, susulan jumlah kayu balak yang hanyut ke daratan meningkat luar biasa. Syarikat terlibat bagaimanapun tidak didedahkan.
“Memang hujan menyebabkan banjir, tetapi mustahil hujan boleh mengheret kayu sebanyak ini. Kayu ini bukan jatuh sendiri, ada tangan-tangan yang menebang hutan tanpa memikirkan kesannya. Kini kami yang menanggung akibatnya, semuanya musnah,” kata Reliwati Siregar, 62, ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Tapanuli, Sumatera Utara.