fb fb fb fb fb

Pelancaran roket Space One Jepun gagal kali kedua

Roket berputar ke bawah selepas dilancarkan (kanan)/AFP

TOKYO, 18 Disember- Syarikat permulaan Jepun, Space One Co. gagal melancarkan roket pada Rabu dalam misi mereka meletakkan satelit ke orbit.

Roket 'Kairos' yang membawa lima satelit termasuk satelit Agensi Angkasa Taiwan itu kelihatan berputar ke bawah selepas dilancarkan dan percubaan itu disahkan gagal.

Ini adalah cubaan kedua oleh Space One untuk menjadi syarikat swasta pertama Jepun yang meletakkan satelit ke dalam orbit selepas cubaan pertama pada Mac lalu berakhir dengan letupan di udara disebabkan masalah teknikal.

Para penonton di Spaceport Kii, Wakayama, Jepun meluahkan rasa kecewa apabila diberitahu tentang kegagalan itu. Seorang wanita berkata, "Saya sangat terkejut. Saya berharap ia berjaya ke orbit."

Space One dalam kenyataan memaklumkan bahawa roket Kairos dihentikan selepas menilai bahawa misi itu tidak dapat diselesaikan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kegagalan tersebut.

Ditubuhkan pada 2018, Space One menawarkan perkhidmatan pelancaran satelit dengan kos lebih rendah dan lebih kerap berbanding kerajaan.

Syarikat itu mendapat sokongan daripada beberapa syarikat besar di Jepun termasuk Canon Electronics dan IHI Aerospace sekali gus berharap dapat mencontohi kejayaan SpaceX yang dimiliki oleh Elon Musk dalam penerokaan angkasa lepas.

Selain Space One, Agensi Penjelajahan Angkasa Jepun (JAXA) juga berusaha menjadi peneraju dalam industri pelancaran satelit. Selepas beberapa kegagalan, sistem pelancaran H3 JAXA berjaya dilancarkan pada Februari lalu dan juga mencatatkan kejayaan dengan pendaratan probe di bulan tahun ini. -AFP

SITI AISHAH MD ISA