BAITULMAQDIS, 30 Januari-Kumpulan pejuang Palestin mula menyerahkan tiga tebusan Israel di Gaza pada Khamis sebagai pertukaran dengan pembebasan 110 tahanan Palestin dalam fasa terkini perjanjian gencatan senjata kedua-dua pihak.
Seorang askar wanita Israel, Agam Berger, dilihat melambai-lambai kepada orang ramai dari sebuah podium di Jabalia, utara Gaza, sebelum diserahkan kepada Palang Merah.
Gadi Moses, 80, dan Arbel Yahud, 29, yang diculik dari Kibbutz Nir Oz ,berpelukan di samping kehadiran lelaki bersenjata bertopeng yang memakai seragam hitam di lokasi pertukaran lain di Khan Younis, selatan Gaza, menurut video yang dikeluarkan oleh Jihad Islam, sekutu Hamas.
Jurucakap sayap bersenjata kumpulan itu berkata di Telegram bahawa mereka telah menyelesaikan prosedur untuk menyerahkan dua tebusan Israel.
Seorang pegawai Israel memberitahu Reuters bahawa tiga tebusan tersebut dijangka dibawa ke tiga hospital berbeza di Israel.
Namun, perkara itu boleh berubah bergantung pada pemeriksaan awal oleh doktor sebaik mereka tiba.
Setakat ini, tiga orang awam Israel dan empat askar wanita telah dibebaskan dalam perjanjian gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari.
Sebagai balasan, Israel telah membebaskan 290 tahanan dan banduan Palestin.-AFP.