KAHERAH, 21 Julai – Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Gaza, Marwan Al-Hams, ditahan oleh pasukan penyamaran Israel di hadapan hospital medan milik Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di selatan Gaza.
Menurut kenyataan kementerian itu, Marwan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan hospital medan di seluruh Gaza, ketika itu dalam perjalanan untuk melawat hospital ICRC di bandar Rafah.
Beliau 'diculik' oleh pasukan Israel selepas berlakunya tembakan yang mengorbankan seorang individu dan mencederakan seorang lagi orang awam yang berada berdekatan.
Pasukan perubatan berkata, mangsa yang terbunuh adalah seorang wartawan tempatan yang sedang merakam temu bual bersama Marwan ketika insiden itu berlaku.
Sementara itu, jurucakap ICRC memaklumkan hospital berkenaan telah menerima dan merawat mangsa yang cedera dalam insiden tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa bagi melindungi privasi pesakit.
ICRC turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan di kawasan sekitar hospital medan itu.
Sehingga kini, Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Sepanjang perang di Gaza yang berlanjutan selama 21 bulan, Israel kerap melakukan serbuan dan serangan terhadap kemudahan kesihatan, dengan menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai perlindungan untuk operasi ketenteraan.