fb fb fb fb fb

PBB siap sedia hantar konvoi bantuan kemanusiaan ke Suwayda

Marianne Ward/Foto Reuters

DAMSYIK, 30 Julai - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sedang bersiap sedia menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ke wilayah Suwayda di selatan Syria.

Ia susulan pertempuran yang tercetus di daerah itu menyebabkan ratusan penduduk terkorban dan lebih 175,000 lagi kehilangan tempat tinggal.

Menurut Ketua Program Makanan Sedunia PBB di Syria, Marianne Ward, bantuan berkenaan akan diselaras lepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Luar Syria.

Jelas beliau, bantuan merangkumi bekalan makanan dan keperluan lain.

Tiga penghantaran bantuan awal ke Suwayda akan dilaksanakan oleh Bulan Sabit Merah Arab Syria.

Hampir 250 tan metrik tepung gandum telah dihantar ke kedai roti dan makanan sedia untuk dimakan bagi keperluan 50,000 orang di Suwayda serta sokongan makanan kepada 10,000 orang di Daraa.

Ward memaklumkan, ketegangan berterusan di wilayah tersebut menyukarkan kumpulan bantuan membuka laluan tetap.

Agensi PBB memerlukan gencatan senjata yang stabil untuk memastikan bantuan sampai kepada penduduk Suwayda secara langsung.-REUTERS

ASHRIQ FAHMY AHMAD