LARNACA, 21 Mac- Pegawai dari 36 negara dan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkumpul di Cyprus pada Khamis untuk membincangkan cara untuk mempercepatkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui laluan laut yang dilancarkan minggu lalu.
Perhimpunan itu dihadiri Penyelaras Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula PBB untuk Gaza Sigrid Kaag serta Ketua Kakitangan Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat Curtis Ried.
Ketika kebuluran melanda Gaza, agensi mencari jalan alternatif untuk mendapatkan bantuan ke dalam enklaf selain menggunakan laluan darat.
Kekurangan infrastruktur juga merupakan satu permasalahan untuk menghantar bantuan dari Cyprus.
Sebuah kapal meninggalkan Cyprus minggu lalu dan mengagihkan bantuan di Gaza, manakala dua lagi dijangka berlepas dalam beberapa hari lagi namun ia tertakluk kepada keadaan cuaca.
"Kami sedang membincangkan cara untuk memaksimumkan operasi perlepasan, cara pengangkutan dan juga berkaitan dengan metodologi penerimaan serta pengedaran," kata Menteri Luar Cyprus Constantinos Kombos.
Perwakilan juga akan membincangkan dana untuk menyelaras aktiviti operasi inisiatif itu, kata Kombos.
Ketika menjawab berkenaan bantuan yang akan diberikan kepada pemduduk Palestin, Kombos menjawab "sebanyak mugkin."
"Kita harus ingat ada had dari segi penerimaan dan pengedaran kerana perkara utama bukan untuk menyimpan stok bantuan di sini tetapi menguruskannya secekap mungkin."- REUTERS