fb fb fb fb fb

Paetongtarn Shinawatra dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand baharu, termuda dalam sejarah

Perdana Menteri Thailand yang baharu, Paetongtarn Shinawatra / AFP

BANGKOK, 16 Ogos- Ahli Parlimen Thailand hari ini memilih Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan jutawan Thaksin Shinawatra, yang berusia 37 tahun sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Paetongtarn, yang bapa dan ibu saudaranya pernah berkhidmat sebagai perdana menteri, adalah pemimpin termuda dalam sejarah kerajaan Raja Berperlembagaan Thailand.

Beliau menjadi perdana menteri wanita kedua kerajaan selepas ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra, dalam undian terpaksa diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan memecat perdana menteri sebelum ini, Srettha Thavisin.

Beliau didapati bersalah kerana melantik Pichit Chuenban, bekas peguam dikaitkan dengan keluarga Thaksin yang mempunyai sabitan jenayah, sebagai menteri Kabinet.

Parti Pheu Thai memilih Paetongtarn sebagai calon penggantinya semalam dan tiada satu pun daripada 10 parti lain dalam gabungan yang dipimpinnya mengemukakan alternatif.

Bhumjaithai, parti ketiga terbesar di Parlimen, berkata ia telah 'bersetuju untuk menyokong calon' dari Pheu Thai dalam undian itu.

Paetongtarn membantu mengendalikan cabang hotel empayar perniagaan keluarga itu sebelum memasuki dunia politik pada penghujung 2022, dan terus terbabit dalam politik dengan menyertai kempen pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

PRU menyaksikan Parti Move Forward (MFP) yang progresif memenangi kebanyakan kerusi selepas berikrar untuk mengkaji semula undang-undang negara yang ketat dan memecahkan monopoli golongan perniagaan yang berkuasa.

Bagaimanapun, kumpulan Senator yang pro-tentera dan setia kepada Raja menghalang percubaan MFP untuk membentuk kerajaan.

Pheu Thai kemudiannya membentuk pakatan dengan parti pro-tentera yang pernah menentang Thaksin dan pengikutnya, menyaksikan kenaikan Srettha.

Minggu lalu, mahkamah juga mengundi untuk membubarkan MFP dan melarang ahli lembaga eksekutifnya daripada politik selama 10 tahun, namun parti itu dengan pantas melancarkan semula dirinya sebagai Parti Rakyat.

Persoalan besar ialah sejauh mana Paetongtarn akan dipengaruhi oleh bapanya.

Thaksin Shinawatra telah memberikan bayangan yang luar biasa terhadap politik kerajaan selama dua dekad.

Dia mengubah politik Thailand pada awal 2000-an dengan dasar populis yang mengekalkan kesetiaan daripada rakyat luar bandar dan dua pilihan raya.

Digulingkan sebagai perdana menteri oleh tentera pada 2006, Thaksin membawa dirinya ke dalam buangan dua tahun kemudian tetapi tidak pernah berhenti mengulas mengenai hal ehwal negara atau mencampurinya, menurut pengkritik.

Thaksin pulang ke tanah air tahun lepas.

Paetongtarn, yang dikenali di Thailand dengan nama panggilannya Ung Ing, adalah anak bongsu Thaksin.

Dia dibesarkan di Bangkok dan mengikuti pengajian pengurusan hotel di Britain, kemudian berkahwin dengan juruterbang komersial serta mempunyai dua orang anak.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI