fb fb fb fb fb

Nintendo umum permainan Switch boleh dimainkan pada konsol baharu

FOTO AFP

TOKYO, 6 November- Nintendo pada Rabu mengumumkan permainan video yang dibangunkan untuk konsol popular Switch akan boleh dimainkan pada versi baharu, namun syarikat permainan video itu belum memberikan butiran tarikh pelancaranannya.

Pengumuman itu hadir sehari selepas syarikat gergasi permainan Jepun itu menurunkan unjuran jualan tahunan mereka, dengan laporan menunjukkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 60 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan.

Syarikat itu sebelum ini menjanjikan pengumuman mengenai pengganti kepada Switch yang kini sudah masuk tahun kelapan menjelang akhir Mac.

"Perisian Nintendo Switch juga akan boleh dimainkan pada pengganti Nintendo Switch," kata satu hantaran yang dikaitkan dengan presiden syarikat, Shuntaro Furukawa, di akaun rasmi X.

"Huraian lanjut mengenai pengganti Nintendo Switch, termasuk keserasiannya dengan Nintendo Switch, akan diumumkan kemudian," tambah hantaran itu.

Perkhidmatan langganan dalam talian Switch juga akan disediakan pada produk baharu iyu, menurut kenyataan tersebut.

Sebagai peranti hibrid yang boleh dimainkan secara genggam dan juga pada TV, Switch menjadi pilihan utama bagi semua peringkat usia semasa pandemik COVID-19, didorong oleh permainan popular seperti "Animal Crossing".

Jualan unit Switch menurun sebanyak 31 peratus tahun ke tahun bagi tempoh April hingga September, menurut Nintendo pada Selasa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE