KATHMANDU, 9 Oktober- Seorang pendaki gunung Nepal berusia 18 tahun Nima Rinji Sherpa memecahkan rekod sebagai individu paling muda menawan 14 puncak untuk berada di Shisha Pangma dengan ketinggian 8,027 meter.
Nima Rinji Sherpa berjaya mencapai misi itu untuk berdiri di puncak tertinggi di dunia.
"Dia tiba di puncak pagi ini. Dia berlatih dengan baik dan saya yakin dia akan melakukannya," kata bapanya Tashi Sherpa kepada AFP.
Nima berjaya menawan 14 puncak dengan ketinggian itu dan kejayaan berkenaan dianggap sebagai inspirasi kepada pendaki gunung.
Pada masa sama pendaki perlu melintasi kawasan yang digelar "zon kematian" iaitu satu kawasan kurang oksigen mencukupi untuk membantu pernafasan dalam tempoh lama.
"Puncak ini bukan sekadar perjalanan peribadi saya, tetapi penghormatan kepada setiap Sherpa (pendaki gunung elit dan pakar di kawasan tempatan mereka)," kata Sherpa dalam satu kenyataan.
"Mendaki gunung lebih daripada bekerja, ia adalah bukti kekuatan, ketabahan dan semangat kami."
Rekod itu sebelum ini dipegang oleh seorang lagi pendaki Nepal, Mingma Gyabu 'David' Sherpa. Dia mencapainya pada 2019, pada usia 30 tahun.- AFP