fb fb fb fb fb

New Delhi alami suhu panas melampau cecah 49.9 darjah Celcius

Menteri Air, Atishi Marlena meminta semua pihak bertanggungjawab agar tidak melakukan pembaziran air/Foto AFP

NEW DELHI, 29 Mei - Suhu di ibu negara India melonjak kepada rekod tertingginya, 49.9 darjah Celsius.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai masalah kekurangan air di bandaraya itu.

Jabatan Meteorologi India (IMD) melaporkan gelombang haba teruk, dengan rekod suhu lebih tinggi dicatat semalam di dua stesen pinggir bandar Delhi di Narela dan Mungeshpur.

Biro Cuaca pula memberitahu suhu direkod adalah sembilan darjah lebih tinggi daripada jangkaan.

IMD menjangkakan suhu sama direkod hari ini untuk bandar yang mempunyai lebih 30 juta penduduk itu, dengan notis amaran merah sudah dikeluarkan untuk orang ramai supaya lebih berwaspada.

PadaMei 2022 media tempatan melaporkan suhu di bahagian Delhi pernah mencecah 49.2 darjah Celsius.

India tidak asing dengan musim suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik dijalankan berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.

Pihak berkuasa New Delhi sudah memberi amaran mengenai risiko kekurangan air, apabila ibu kota itu dilanda musim panas, mengakibatkan bekalan ke beberapa kawasan dipotong.

Menteri Air, Atishi Marlena meminta semua pihak bertanggungjawab agar tidak melakukan pembaziran air.

Katanya air yang dicatu akan dibekalkan ke kawasan yang mengalami kekurangan air, yang mana bekalan hanya mampu bertahan 15 hingga 20 minit sehari.

IMD turut memberi amaran mengenai kesan haba terhadap kesihatan khusunya golongan bayi, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN