fb fb fb fb fb

Nahas feri terbalik di Vietnam, 37 maut dan lima masih hilang

Foto AFP

TELUK HALONG, 20 Julai- Angka korban nahas feri terbalik di Teluk Ha Long, Vietnam meningkat kepada 37 orang dengan lima individu masih dilaporkan hilang.

Justeru, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan pasukan keselamatan di destinasi pelancongan paling terkenal di negara itu.

Insiden pada Sabtu tersebut merupakan antara yang paling buruk pernah direkodkan di kawasan warisan dunia UNESCO itu.

Menurut portal VNExpress, feri "Wonder Sea" yang membawa 48 penumpang dan lima kru dilaporkan karam akibat ribut dan hujan lebat secara tiba-tiba.

"Kebanyakan mangsa merupakan keluarga dari ibu negara, Hanoi termasuk lebih 20 kanak-kanak dalam kalangan penumpang.

Setakat Sabtu malam, pasukan pengawal sempadan berjaya menyelamatkan 11 orang dan menemui 34 mayat.

Tiga lagi mayat kru feri ditemukan dalam kabin pada awal pagi Ahad manakala lima lagi individu masih hilang," menurut portal itu.

“Saya tarik nafas panjang, berenang ikut celah, menyelam dan berenang naik semula. Saya menjerit minta tolong, kemudian diselamatkan oleh bot yang ada tentera," kata seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang terselamat kepada media tempatan, VietnamNet.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Keselamatan Awam untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan segera.

Beliau turut menggesa siasatan dilaksana dan mengenal pasti punca kejadian dan jika wujud sebarang pelanggaran, tindakan tegas perlu diambil.

Hujan lebat turut melanda Hanoi serta wilayah Thai Nguyen dan Bac Ninh di utara Vietnam pada hari yang sama, dengan beberapa pokok tumbang akibat angin kencang.

Ribut itu berlaku selepas tiga hari cuaca panas terik dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan, Mai Van Khiem menjelaskan kepada bahawa ribut petir di utara Vietnam itu tidak berpunca daripada kesan langsung Taufan Tropika Wipha yang kini berada di Laut China Selatan.

Taufan Wipha yang semakin kuat dijangka melanda pantai Vietnam awal minggu depan.

Teluk Ha Long merupakan tarikan utama pelancongan negara itu, menerima jutaan pelawat setiap tahun yang tertarik dengan keindahan perairan biru kehijauan dan formasi batu kapur yang diselaputi hutan tropika.

Tahun lalu, sebanyak 30 bot karam di kawasan tambatan kapal di wilayah pesisir Quang Ninh selepas Taufan Yagi membawa angin kencang dan ombak besar.

Awal bulan ini, sebuah feri turut karam berhampiran pulau pelancongan Bali, Indonesia, mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM