YANGON, 22 Februari - Myanmar memperkenalkan satu program khas yang membolehkan warganya yang bekerja di luar negara mengimport kenderaan elektrik (EV) dan motosikal elektrik, lapor Xinhua yang memetik akhbar rasmi Myanma Alinn pada Sabtu.
Menurut laporan itu, rakyat Myanmar yang bekerja di luar negara dan menghantar pulang sekurang-kurangnya US$50,000 setahun melalui saluran perbankan rasmi layak mengimport sebuah EV setiap tahun, dengan nilai import dihadkan kepada lima peratus daripada jumlah keseluruhan wang yang dihantar pulang.
Jumlah kiriman itu merangkumi gaji atau pendapatan lain yang dihantar melalui saluran perbankan rasmi, menurut laporan berkenaan.
Bagi kes melibatkan jumlah kiriman tidak mencukupi untuk menampung kos penuh kenderaan, kementerian turut membenarkan import secara kolektif, yang membolehkan beberapa individu mengumpulkan dana untuk pembelian kenderaan, katanya.
Pelan yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan itu bertujuan menggalakkan penggunaan EV di negara itu serta menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar. - BERNAMA