NEW DELHI, 5 Disember -India menjadi tuan rumah kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang tiba di New Delhi untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Perdana Menteri, Narendra Modi.
Putin disambut mesra oleh Modi di lapangan terbang sebelum kedua-duanya menuju ke jamuan peribadi, menandakan hubungan rapat antara dua pemimpin itu.
Ini adalah lawatan pertama Putin ke India sejak perang Rusia–Ukraine meletus.
Pertemuan kali ini memberi tumpuan kepada kerjasama pertahanan, tenaga dan perdagangan.
Fokus turut terarah kepada rundingan berkaitan jualan ketenteraan, projek pengeluaran bersama, tenaga nuklear serta kerjasama dalam sektor aeroangkasa.
Lawatan itu hadir ketika India berdepan tekanan Amerika Syarikat berhubung pembelian minyak Rusia, yang mendorong Washington mengenakan tarif 50 peratus terhadap kebanyakan produk India.
Dalam temu bual bersama media tempatan, Putin menyifatkan Modi sebagai “rakan baik”.
Modi pula menegaskan persahabatan India–Rusia adalah hubungan “teruji masa” yang terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Penganalisis melihat kehadiran Putin sebagai langkah penting India untuk terus mempelbagaikan rakan strategik di tengah-tengah ketegangan geopolitik global dan tekanan perdagangan dari Amerika Syarikat.
Putin dijadual menerima sambutan rasmi di istana presiden sebelum meneruskan perbincangan dua hala dengan Modi. - AFP