MEXICO, 26 Mei- Mexico City merekodkan suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di ibu negara itu apabila menunjukkan suhu setinggi 34.7 darjah Celsius, semalam.
Bacaan suhu berkenaan direkod di balai cerap Tacubaya, menurut Perkhidmatan Meteorologi Negara. Mexico merekodkan 48 kematian akibat gelombang panas yang melanda negara itu sejak Mac lepas.
Negeri pantai timur, Veracruz mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 14 orang maut, diikuti Tabasco, San Luis Potosi dan Tamaulipas dengan masing-masing lapan kematian.
Berpuluh-puluh monyet howler juga mati di selatan Mexico disebabkan cuaca panas melampau.
"Tahun ini akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah," kata Francisco Estrada, penyelaras Program Penyelidikan Perubahan Iklim Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico.
Sementara itu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan cuaca panas tahun ini sebagai "luar biasa."
"Ia adalah fenomena semula jadi yang sangat dikesali berkaitan perubahan iklim," katanya.
Tahun lalu, Mexico merekodkan 419 kematian ketika musim panas, yang melanda dari Mac hingga Oktober, di negara berpenduduk 129 juta orang. -AFP