fb fb fb fb fb

Meta sekat RT News, rangkaian media Rusia lain

Meta menyekat Facebook RT News dan media Rusia lain/ REUTERS

NEW YORK, 17 September- Pemilik Facebook Meta berkata ia menyekat RT News, Rossiya Segodnya dan rangkaian media negara Rusia yang lain daripada platformnya.

Ia berikutan rangkaian media berkenaan menggunakan taktik menipu untuk menjalankan operasi pengaruh rahsia dalam talian.

Perkara itu menandakan peningkatan sekatan syarikat media sosial terbesar dunia itu terhadap media Rusia.

"Selepas pertimbangan teliti, kami memperluaskan penguatkuasaan berterusan kami terhadap saluran media Rusia.

"Rossiya Segodnya, RT dan entiti lain yang berkaitan kini diharamkan daripada aplikasi kami di seluruh dunia untuk aktiviti campur tangan asing," kata syarikat media sosial itu dalam satu kenyataan.

Penguatkuasaan larangan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang, katanya termasuk Facebook dan aplikasi Meta lain iaitu Instagram, WhatsApp dan Threads.

Bagaimanapun kedutaan Rusia dan White House tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen berkenaan perkara itu.

Tindakan Meta dibuat selepas Amerika Syarikat memfailkan tuduhan pengubahan wang haram awal bulan ini terhadap dua pekerja RT kerana mengupah sebuah syarikat Amerika untuk menghasilkan kandungan dalam talian semasa pilihan raya 2024.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata, negara-negara lain harus menganggap aktiviti RT dan Rusia melakukan operasi risikan rahsia.

RT telah mencela tindakan Amerika Syarikat dan menuduh negara itu cuba menghalang penyiar berkenaan daripada beroperasi sebagai organisasi kewartawanan.

Dalam bahan taklimat yang dikongsi dengan Reuters, Meta berkata ia telah melihat media yang dikawal negara Rusia cuba mengelak pengesanan aktiviti dalam talian dan menjangkakan ada penipuan pada masa depan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI