SUMBER TWITTER
IGHRANE, 7 Februari- Seluruh dunia meratapi kematian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia selepas terperangkap selama lima hari di dalam telaga sedalam 32 meter.
Penduduk Maghribi dan dunia turut terkejut dengan insiden tragik itu selepas pasukan penyelamat bertungkus-lumus berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu yang mendapat jolokan 'Little Rayan' dari warga maya seluruh dunia.
Tanda pagar "Save Rayan" menjadi tular dengan ucapan takziah mengiringi pemergian tragis itu sejak semalam.
Usaha menyelamatkan Rayan yang terperangkap selepas terjatuh dalam perigi berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Inghrane wilayah Chefchaouen menyentuh hati dan perasaan masyarakat dunia.
Sepanjang operasi untuk mengeluarkannya dari dasar telaga sepanjang 32 meter, pasukan penyelamat memberi peringatan mereka tidak tahu sama ada kanak-kanak itu masih hidup atau sebaliknya.
Penantian selama lima hari berakhir dengan kesedihan selepas pihak Istana Maghribi mengumumkan Rayan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Dalam operasi itu, pasukan penyelamat menggunakan jentolak, menggali tanah merah di sekeliling telaga sehingga ke paras kanak-kanak itu terperangkap dan pasukan penggerudi turut menggali terowong mendatar untuk mencapainya dari bahagian sisi.
Tetapi operasi penggalian menjadi perlahan apabila pasukan penggerudi terpaksa mengorek dengan tangan untuk mengelakkan gegaran yang mungkin menyebabkan tanah runtuh menimpa Rayan.
Ibu bapa Rayan dilihat berjalan menuruni cerun ke dalam terowong mendatar, kelihatan amat sedih sebelum kembali dan menaiki ambulans tanpa sepatah kata manakala penduduk dan orang awam mula meninggalkan lokasi dalam keadaan hiba. -AFP