fb fb fb fb fb

Keluarga mangsa serangan 7 Oktober saman UNRWA

UNRWA menyediakan bantuan persekolahan, penjagaan kesihatan dan kemanusiaan di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan/ AFP

NEW YORK, 25 Jun- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) disaman semalam oleh berpuluh-puluh warga Israel yang menuduhnya membantu dan bersubahat dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Dalam aduan yang difailkan dengan Mahkamah Daerah di Manhattan, para plaintif berkata UNRWA menghabiskan lebih sedekad membantu Hamas membina apa yang disifatkan sebagai "infrastruktur pengganasan" dan kakitangan diperlukan untuk serangan itu.

Para plaintif menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan untuk apa yang disifatkan sebagai tindakan "membantu dan bersubahat dengan Hamas untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, dan penyeksaan," yang menurut mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan Akta Perlindungan Mangsa Seksaan.

UNRWA bagaimanapun enggan mengulas, setakat menyatakan ia masih belum menerima tuntutan mahkamah itu.

Agensi itu menegaskan bahawa ia memandang serius terhadap tuduhan salah laku oleh kakitangannya dan sudah memecat 10 kakitangan yang dituduh Israel terlibat dalam serangan itu. Dua lagi maut, UNRWA.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dan beberapa pegawai dan bekas kakitangan agensi itu dinamakan sebagai defendan.

Plaintif termasuk 101 orang yang terselamat dalam serangan itu atau mempunyai saudara-mara yang terbunuh.

Para plaintif mahu UNRWA bertanggungjawab kerana dipercayai menyalurkan lebih AS$1 bilion daripada akaun bank Manhattan untuk membantu Hamas, termasuk untuk senjata, bahan letupan dan peluru.

Mereka turut menuduh UNRWA menyediakan "tempat perlindungan yang selamat" kepada Hamas di kemudahannya dan membenarkan sekolahnya menggunakan buku teks yang diluluskan Hamas untuk mendidik kanak-kanak Palestin supaya menyokong keganasan dan kebencian terhadap orang Yahudi dan Israel.

Mereka juga berkata serangan itu "boleh dijangkakan" oleh defendan, tidak kira sama ada mereka mengetahuinya secara spesifik.

"Kami bercakap tentang orang yang telah dibunuh, kehilangan ahli keluarga dan kehilangan rumah," kata Avery Samet, seorang peguam untuk para plaintif, dalam satu temu bual. "Kami menjangkakan jumlah ganti rugi yang menjadi besar."

Serangan pada 7 Oktober lalu meragut nyawa 1,200 orang, manakala kira-kira 250 yang lain dijadikan tebusan menurut pengiraan Israel.

Lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan serangan balas ke atas Gaza, menurut para pegawai kesihatan di wilayah tersebut.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI