fb fb fb fb fb

Mahkamah junta Myanmar tolak rayuan kes rasuah Suu Kyi

(Suu Kyi ketika dibicarakan di Mahkamah Junta Mynmar/AFP)

YANGON, 4 Mei - Mahkamah junta Myanmar menolak rayuan oleh pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi terhadap hukuman lima tahun penjara atas kesalahan rasuah yang dijatuhkan minggu lalu, menurut sumber yang mengetahui kes itu.

Sejak rampasan kuasa menggulingkan kerajaan awam pimpinannya pada Februari tahun lalu, Suu Kyi diletak bawah tahanan tentera dan menghadapi pelbagai pertuduhan yang boleh menyebabkan beliau meringkuk di penjara selama lebih 150 tahun.

Minggu lalu penerima anugerah Nobel itu disabitkan kesalahan menerima rasuah wang tunai AS$600,000 dan jongkong emas, satu pertuduhan yang menurutnya "tidak masuk akal", kata peguamnya.

Rayuan yang difailkan oleh pasukan undang-undang Suu Kyi pada hari Rabu "diketepikan secara ringkas tanpa mendengar sebarang hujah daripada mana-mana pihak", kata sumber itu.

(Bekas pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi/AP)

Suu Kyi, 76 tahun, telah pun dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana menghasut, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.

Beliau akan kekal bawah tahanan rumah di lokasi yang tidak diketahui di sini yang dibina tentera Naypyidaw sementara menghadapi perbicaraan kes-kes lain.

Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai keputusan rayuan itu. -AF

Media Baharu