BEIRUT, 20 Januari- Serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Damsyik mengorbankan lima orang di mana didakwa “pemimpin bersekutu Iran” bertemu hari ini, menurut seorang pemantau perang, ketika ketegangan serantau kian memuncak berikutan perang Israel-Hamas.
“Serangan peluru berpandu Israel menyasarkan sebuah bangunan empat tingkat, membunuh lima orang... dan memusnahkan keseluruhan bangunan tempat pertemuan para pemimpin bersekutu Iran,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Pemantau yang berpangkalan di Britain dengan rangkaian sumber di dalam Syria itu berkata kawasan kejiranan yang disasarkan itu diketahui sebagai zon keselamatan tinggi yang menempatkan pemimpin Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan kumpulan Palestin pro-Iran.
"Mereka pasti menyasarkan ahli kanan kumpulan itu," kata pengarah kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman.
Menurut laporan media kerajaan Syria, serangan pada awal itu, menyebabkan kepulan asap besar kelihatan di udara.
“Serangan menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kawasan kejiranan Mazzeh di Damsyik, hasil daripada pencerobohan Israel,” lapor agensi berita rasmi SANA.
Namun, laporan tersebut tidak menyatakan jika terdapat kemalangan jiwa.
Kawasan Mazzeh menempatkan ibu pejabat, kedutaan dan restoran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Saya mendengar letupan itu dengan jelas di kawasan Mazzeh barat, dan saya melihat kepulan asap besar.Bunyi itu serupa letupan peluru berpandu dan beberapa minit kemudian, saya mendengar bunyi ambulans," kata seorang penduduk,” kata seorang penduduk kepada AFP.
Sepanjang lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayahnya, terutama menyasarkan pasukan disokong Iran serta kedudukan tentera Syria.
Serangan terus dipertingkat sejak perang antara Israel dan Hamas, bermula 7 Oktober lalu.- AFP