TAGULANDANG, 19 April - Pihak berkuasa Indonesia hari ini mengekalkan status amaran berjaga-jaga selepas Gunung Ruang meletus beberapa kali di Kepulauan Sangihe kelmarin, sehingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Gunung Ruang yang telah beberapa kali meletus dalam tempoh 24 jam, bermula lewat Selasa telah memuntahkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.
Walaupun pegawai berkata Ruang telah mula tenang hari ini, pihak berkuasa mengekalkan tahap berjaga-jaga kepada tahap empat tertinggi yang menunjukkan aktiviti gunung berapi yang tinggi.
Beratus-ratus penduduk tempatan di pulau Tagulandang yang bersebelahan dilihat membersihkan debu gunung berapi dengan bantuan tentera dan pegawai polis, menurut seorang wartawan AFP.
Seorang pegawai berkata, komunikasi telah diputuskan di bahagian kedua-dua Ruang dan pulau Tagulandang yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.
Lebih 6,000 penduduk Tagulandang telah dipindahkan ke seberang pulau yang jauh dari kawah, kata Joikson Sagunde, seorang pegawai dari agensi pengurusan bencana Kepulauan Sitaro, kepada AFP.
Sehari sebelum itu, pihak berkuasa berkata mereka berharap untuk memindahkan 11,000 orang di zon terkecuali.
Penutupan lapangan terbang antarabangsa berdekatan di bandar Manado, lebih 100km dari kawah itu, turut dilanjutkan sehingga hari ini, kata Abdul.
Tahap berjaga-jaga mengekalkan enam zon pengecualian di sekitar kawah, serta amaran tentang letusan selanjutnya dan bahagian gunung berapi yang runtuh ke laut yang boleh menyebabkan tsunami.
Pada 2018, kawah Gunung Anak Krakatau di antara pulau Jawa dan Sumatera sebahagiannya runtuh apabila letusan besar menyebabkan ketulan besar gunung berapi itu mengalir ke lautan, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 orang dan mencederakan beribu-ribu yang lain.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di "bulatan api" di Pasifik.-AFP