JAKARTA, 4 November - Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia Timur meletus tengah malam tadi.
Letusan lava di Gunung Lewotobi itu memaksa pihak berkuasa memindahkan beberapa perkampungan berhampiran.
Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hadi Wijaya berkata gunung berapi yang terletak di Pulau Flores itu meletus pada pukul 11.57 malam tadi.
Gunung itu sekali gus memuntahkan lava merah menyala, abu gunung berapi, dan batu panas.
"Selepas letusan, berlaku gangguan bekalan elektrik diikuti hujan lebat dan petir yang menyebabkan penduduk panik," kata Hadi kepada Reuters.
Status gunung berapi dinaikkan ke tahap amaran tertinggi, dan kawasan dalam radius tujuh kilometer dari kawah diarahkan dikosongkan.
Lava dan batu berapi dilaporkan menjejaskan kawasan penempatan sekitar empat kilometer dari kawah yang membakar dan merosakkan rumah penduduk sekitar.
Setakat petang Isnin, sekurang-kurangnya 10 orang terkorban, dan letusan itu menjejaskan tujuh buah kampung, menurut pegawai tempatan Heronimus Lamawuran.
Proses pemindahan penduduk telah dimulakan, membawa mereka ke kampung yang terletak sekitar 20 kilometer dari kawah.
Gambar yang dikongsikan oleh pihak berkuasa menunjukkan langit seperti malam di sekitar gunung berapi berwarna merah, sementara video pula menunjukkan beberapa rumah kayu terbakar.
Kelihatan penduduk memakai topeng sedang diarah untuk berpindah, sementara jalan raya dan bangunan di sebuah kampung juga diliputi abu tebal.
Agensi bencana Indonesia memberi amaran mengenai potensi banjir kilat dan aliran lahar sejuk dalam beberapa hari mendatang.
Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan keadaan darurat selama 58 hari agar dapat membolehkan kerajaan pusat menyalurkan bantuan kepada kira-kira 10,000 penduduk yang terjejas.
Lapangan terbang terdekat di bandar Maumere telah ditutup sementara.
Gunung Ruang di Sulawesi Utara turut meletus pada Mei lalu, menyebabkan pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 penduduk.
Banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi di Sumatera Barat pada bulan yang sama meragut lebih daripada 60 nyawa. - REUTERS