fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Ruang: Indonesia keluar amaran tsunami

Gambar yang dikeluarkan oleh Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi semalam menunjukkan Gunung Ruang mengeluarkan lava panas dan asap di Kepulauan Sangihe, Indonesia/AFP

MANADO, 18 April- Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan sekitar Gunung Ruang di Kepulauan Sangihe yang meletus beberapa kali sejak malam Selasa lalu.

Gunung berapi di Provinsi Sulawesi Utara itu pertama kali meletus pada pukul 9.45 malam kelmarin waktu tempatan, manakala sebanyak empat kali sepanjang tempoh semalam.

“Masyarakat di Pulau Tagulandang, khususnya yang tinggal berhampiran pantai, (perlu) berwaspada terhadap potensi letupan batu pijar, pelepasan awan panas dan tsunami akibat runtuhan serpihan gunung berapi ke laut," kata Hendra Gunawan, Ketua Agensi Gunung Berapi Indonesia dalam satu kenyataan hari ini.

Gunung berkenaan yang mengeluarkan asap setinggi lebih 1.6 kilometer (km) telah memaksa lebih 30,000 penduduk dipindahkan.

Pihak berkuasa berkata, mereka bergegas memindahkan 11,000 penduduk dari kawasan berhampiran termasuk pulau terpencil Tagulandang, yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.

Beberapa penduduk melarikan diri dalam keadaan panik, menurut pegawai.

Tahap amaran bagi gunung berapi setinggi 725 meter (m) dari aras laut itu juga ditingkatkan semalam ke tahap empat iaitu paras tertinggi dalam sistem amaran.

Pihak berkuasa turut memperluaskan zon selamat daripada empat kepada enam km pada petang semalam di sekitar kawah.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Sam Ratulangi di sini yang terletak kira-kira 100km dari Jakarta turut ditutup atas aspek keselamatan. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN
Letusan Gunung Ruang: Pembentukan awan abu risiko kepada keselamatan kapal terbang
MAS, Air Asia batal beberapa penerbangan susulan letusan Gunung Ruang

SITI AISHAH MD ISA