fb fb fb fb fb

Lebih 25,000 pelarian Syria di Turkiye pulang ke tanah air

Rakyat Syria yang tinggal di Turkiye beratur di pintu sempadan Cilvegozu sebelum memasuki Syria di daerah Reyhanli, Hatay / FOTO AFP

ISTANBUL, 24 Disember- Lebih daripada 25,000 rakyat Syria telah pulang ke tanah air dari Turkiye sejak Bashar al-Assad digulingkan oleh pemberontak HTS, kata Menteri Dalam Negeri Turki pada hari Selasa.

Turkiye menempatkan hampir tiga juta pelarian yang melarikan diri daripada perang saudara yang bermula pada tahun 2011 dan kehadiran mereka telah menjadi isu utama bagi kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

"Jumlah orang yang kembali ke Syria dalam tempoh 15 hari terakhir telah melebihi 25,000," kata Ali Yerlikaya kepada agensi berita rasmi Anadolu.

Ankara kini berhubung rapat dengan pemimpin baru Syria dan memfokuskan kepada penghantaran pulang secara sukarela pelarian Syria, dengan harapan perubahan kuasa di Damsyik akan membolehkan ramai daripada mereka kembali ke tanah air.

Yerlikaya berkata sebuah pejabat migrasi akan ditubuhkan di kedutaan dan konsulat Turkiye di Damsyik dan Aleppo untuk merekodkan data rakyat Syria yang pulang.

Turkiye telah membuka semula kedutaannya di Damsyik, hampir seminggu selepas Assad digulingkan dan 12 tahun selepas pos diplomatik itu ditutup pada awal perang saudara Syria.

Yerlikaya juga menyatakan bahawa seorang wakil dari setiap keluarga akan diberi hak untuk keluar dan masuk sebanyak tiga kali dari 1 Januari hingga Julai 2025 di bawah peraturan yang akan dirangka berdasarkan arahan Erdogan.

Warga Syria yang kembali ke negara mereka akan dibenarkan membawa barang peribadi dan kenderaan mereka bersama, tambahnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE