fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 orang ditahan kerana penipuan siber

271 rakyat Indonesia, 213 warga Vietnam dan 75 orang Taiwan ditahan / foto AFP

KEMBOJA, 17 Julai - Pihak berkuasa Kemboja telah menahan lebih 1,000 orang dalam serbuan ke atas pusat penipuan siber, kata polis pada hari Rabu, ketika Perdana Menteri Hun Manet mengarahkan tindakan keras terhadap jenayah siber.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa Asia Tenggara adalah pusat penipuan siber di mana suspek biasanya menggunakan "love scam" atau penipuan pelaburan untuk memperdaya pengguna media sosial dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak $40 bilion setiap tahun.

Perdana Menteri Hun Manet mengeluarkan arahan yang pada Selasa, mengesa pihak berkuasa mencegah dan membanteras penipuan dalam talian dan memberi amaran bahawa mereka berisiko kehilangan pekerjaan jika gagal mengambil tindakan.

Selama tiga hari, pihak berkuasa menyerbu lokasi-lokasi di seluruh negara termasuk di ibu kota Phnom Penh, bandar Poipet di sempadan Thailand dan bandar Sihanoukville.

Lebih daripada 1,000 suspek telah ditahan, menurut laporan polis yang diumumkan lewat malam Rabu.

Kebanyakan suspek yang ditangkap adalah warga asing termasuk 271 rakyat Indonesia, 213 warga Vietnam dan 75 orang Taiwan.

"Jenayah penipuan siber di Kemboja berlaku pada skala besar", kata Amnesty International dalam laporan yang diterbitkan bulan lalu.

"Terdapat sekurang-kurangnya 53 penipuan di Kemboja di mana kumpulan jenayah terancang menjalankan pemerdagangan manusia, buruh paksa, buruh kanak-kanak, penyeksaan dan perhambaan", kata laporan tersebut.

Pada bulan Mac, Kemboja mengusir 119 rakyat Thailand, antara 230 warga asing yang ditahan semasa serbuan di pusat penipuan siber di bandar Poipet.

Agensi PBB mengenai Dadah dan Jenayah memberi amaran pada bulan April bahawa penipuan siber kini berkembang di luar Asia Tenggara dengan kumpulan jenayah menjalankan operasi di Amerika Selatan, Afrika, Asia Barat, Eropah dan beberapa pulau di Pasifik. - AFP

HASRON BIN HASSAN