NEW DELHI, 22 November - Seorang aktivis alam sekitar berpangkalan di Delhi, Mohan George menyeru agar tindakan segera diambil bagi menangani krisis pencemaran udara yang semakin meruncing di ibu negara India.
"Kita sudah terlambat, kita telah kehilangan banyak masa," kata George, yang bertugas sebagai perunding udara bersih dan mobiliti mampan di badan penyelidikan India, Centre for Science and Environment.
Beliau menekankan bahawa situasi pencemaran udara di Delhi sangat serius.
Kualiti udara di kawasan utara India semakin merosot sejak seminggu lalu, dengan jerebu toksik menyelubungi beberapa monumen terkenal seperti Taj Mahal, yang terletak kira-kira 220 kilometer dari New Delhi.
Setiap tahun, Delhi menghadapi jerebu toksik iaitu ampuran asap dan kabus yang bertambah buruk pada musim sejuk apabila udara sejuk memerangkap habuk, asap dan pencemaran daripada pembakaran ladang secara haram.
Menurut George, penyumbang utama kepada pencemaran itu adalah pembakaran sisa pertanian dan pelepasan kenderaan.
"Pembakaran sisa pertanian adalah masalah episodik," katanya.
"Selepas musim menuai, petani membersihkan ladang mereka dengan cepat, dan cara paling mudah bagi mereka adalah dengan membakar sisa tersebut. Walaupun usaha untuk menghentikannya telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu, amalan ini masih berterusan." kata George.
George turut menegaskan keperluan tindakan segera berdasarkan data yang telah diperoleh.
"Kami mempunyai data yang mencukupi, seperti kajian sumber pencemaran, inventori pelepasan dan kajian kapasiti muatan.
"Delhi juga mempunyai rangkaian pemantauan udara yang kukuh. Semua ini sudah cukup, dan tindakan perlu diambil sekarang. Situasi ini sudah sangat kritikal,” katanya.
Beliau menekankan perlunya persediaan lebih awal dalam usaha menangani masalah ini, khususnya menjelang musim jerebu yang kerap berlaku antara Oktober dan November. - REUTERS