fb fb fb fb fb

Korea Utara rancang strategi "paling tegas" lawan AS

FOTO REUTERS

SEOUL, 29 Disember- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengadakan mesyuarat penting bersama parti pemerintah dan pegawai kerajaan minggu lalu menjelang tahun baharu, lapor media rasmi KCNA pada Ahad.

Dalam mesyuarat tersebut, Korea Utara memutuskan untuk melancarkan strategi "paling tegas" bagi menentang Amerika Syarikat demi keselamatan dan kepentingan negara, tanpa memberikan butiran lanjut.

Laporan KCNA turut menyatakan bahawa pakatan antara Korea Selatan, AS dan Jepun telah berkembang menjadi blok ketenteraan nuklear, dengan Korea Selatan digambarkan sebagai "pos antikomunis" untuk AS.

"Realiti ini jelas menunjukkan ke arah mana kita harus bergerak, apa yang perlu kita lakukan, dan bagaimana caranya," menurut laporan tersebut.

Mesyuarat lima hari dari 23 hingga 27 Disember itu turut menilai pengurusan bencana banjir awal tahun ini, termasuk rancangan memindahkan mangsa ke Pyongyang, ibu kota negara tersebut.

Korea Utara juga berjanji untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara bersahabat dan menyeru kemajuan dalam sains dan teknologi pertahanan untuk meningkatkan daya cegah perang negara itu.

Dalam rombakan kepimpinan, Pyongyang melantik Pak Thae Song, seorang setiausaha parti, sebagai perdana menteri baharu menggantikan Kim Tok Hun. Menteri Luar Choe Son Hui pula dilantik menjadi anggota Politburo yang berpengaruh dalam Jawatankuasa Pusat Parti.

Mesyuarat tersebut menutup tirai tahun di mana Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengadakan sidang kemuncak dengan Kim dan menandatangani perjanjian termasuk ikrar pertahanan bersama.

Washington dan Seoul mengkritik kerjasama ketenteraan antara Korea Utara dan Rusia, termasuk dakwaan penghantaran tentera Korea Utara untuk berperang bersama Rusia dalam konflik Ukraine.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE