SEOUL, 9 Jun- Korea Selatan akan memulakan siaran pembesar suara yang ditujukan ke Korea Utara pada Ahad, selepas Pyongyang menyambung semula penghantaran belon yang membawa sampah merentasi sempadan kedua-dua negara.
Majlis Keselamatan Negara Seoul mengadakan mesyuarat selepas berpuluh-puluh belon dengan sampah yang melekat ditemui di Seoul dan kawasan berhampiran sempadan.
Majlis tersebut berkata mesej-mesej penuh harapan akan disiarkan kepada rakyat Korea Utara melalui alat pembesar suara di sempadan kedua-dua negara.
Korea Selatan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap Korea Utara kerana menghantar belon sampah, yang mungkin termasuk siaran propaganda daripada pembesar suara besar yang dipasang di sempadan yang diarahkan ke Korea Utara.
Dalam pada itu, Pyongyang mula menghantar belon yang membawa sampah dan najis merentasi sempadan pada Mei lalu.
Tindakan itu sebagai tindak balas terhadap risalah yang diterbangkan oleh aktivis Korea Selatan sebagai sebahagian daripada kempen propaganda.
Korea Utara menunjukkan kemarahan terhadap kempen risalah dan siaran pembesar suara, dengan menembak ke arah belon dan pembesar suara.
Tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara menerbangkan kira-kira 330 belon dengan sampah pada Sabtu dan kira-kira 80 daripadanya digugurkan di Korea Selatan.-REUTERS