fb fb fb fb fb

Kongres Argentina luluskan pinjaman baharu dengan IMF

Lembaga Dewan Perwakilan memaparkan 129 undi menyokong selepas ahli parlimen mengundi mengenai dekri oleh Presiden Argentina, Javier Milei, untuk menandatangani hutang baharu dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Buenos Aires. / Foto AFP

BUENOS AIRES, 20 Mac- Kongres Argentina pada Rabu meluluskan permohonan Presiden Javier Milei untuk mendapatkan pinjaman baharu daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), di samping hutang sedia ada sebanyak AS$44 bilion.

Milei telah meminta kelulusan ahli parlimen pada 11 Mac untuk mendapatkan pinjaman selama 10 tahun bagi meningkatkan rizab mata wang asing bank pusat.

Jumlah sebenar pinjaman yang akan diterima oleh ekonomi kedua terbesar di Amerika Selatan itu masih belum didedahkan.

Mengikut undang-undang 2021, presiden Argentina perlu mendapatkan kebenaran kedua-dua dewan perundangan untuk menandatangani perjanjian dengan IMF, tetapi hanya memerlukan sokongan satu dewan untuk meneruskan rundingan.

Dalam sesi pengundian di Dewan Perwakilan, Milei memperoleh 129 undi menyokong, 108 menolak dan enam berkecuali. Keputusan ini membolehkan beliau meneruskan perjanjian tersebut.

Sementara itu, ribuan rakyat berkumpul berhampiran bangunan kongres untuk membantah langkah penjimatan ketat dan rundingan kerajaan dengan IMF.

Protes kali ini lebih besar berbanding minggu lalu yang mencederakan 45 orang tetapi berlangsung dengan aman.

Milei berpendapat bahawa pinjaman baharu ini akan membolehkan kerajaan membayar hutang kepada bank pusat, yang seterusnya membantu mengawal inflasi. Argentina kini mempunyai kadar inflasi antara yang tertinggi di dunia.

Namun, sejak Milei memegang jawatan pada Disember 2023 dengan janji mengurangkan perbelanjaan awam, kadar kenaikan harga barangan mulai menunjukkan tanda-tanda perlahan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD