THE HAGUE, 12 Januari- Israel hari ini akan menjawab tuduhan Afrika Selatan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tuduhan pihaknya menjalankan operasi besar-besaran untuk menghapuskan penduduk Palestin.
Israel menafikan tuduhan berkenaan dan berkata Afrika Selatan bertindak sebagai jurucakap Hamas, yang dilihatnya sebagai pengganas yang ingin menghapuskan negara Yahudi itu.
Israel berkata bahawa tenteranya menyasarkan Hamas dan bukan orang awam.
Ketika delegasi mula tiba di mahkamah Hague, penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di luar pekarangan dengan sepanduk.
Terdahulu, Afrika Selatan yang memfailkan tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Disember, menggesa hakim mengenakan langkah segera terhadap Israel bagi menghentikan serangan tersebut.
Afrika Selatan berkata serangan Israel yang telah membunuh lebih 23,000 orang menurut Kementerian Kesihatan Gaza itu bertujuan membawa kemusnahan penduduk Palestin. - REUTERS