PERU, 22 Oktober - Puluhan wakil komuniti Amazon tiba di Iquitos, Peru pada Selasa dengan menaiki bot Yaku Mama sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka menuju Sidang Kemuncak Iklim COP30 yang akan diadakan pada November depan di Belem, Brazil.
Ketibaan wakil komuniti orang asli itu disambut dalam suasana meriah dengan iringan muzik dan sepanduk membawa mesej mempertahankan alam sekitar, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi komuniti mereka akibat bahan api fosil dan perubahan iklim.
Flotila Yaku Mama, yang bermaksud ‘Ibu Air’ dalam bahasa Quechua, sedang merentasi Sungai Amazon sejauh lebih 3,000 kilometer untuk mengetengahkan perjuangan komuniti orang asli terhadap isu tanah, keadilan iklim dan hak untuk hidup.
Perjalanan itu bermula dari wilayah Amazon di Ecuador menuju ke Leticia (Colombia) sebelum tiba di Belem (Brazil), sebagai sebahagian daripada mobilisasi menjelang COP30, sidang kemuncak iklim global yang bakal berlangsung di Brazil.
Perjalanan tersebut melibatkan kerjasama wakil dari beberapa negara termasuk Mexico, Guatemala, Panama, Ecuador, Peru, Colombia, Brazil dan Indonesia.
Setiap persinggahan disertai pertukaran budaya, tayangan filem, bengkel dan upacara tradisional yang menghubungkan spiritualiti nenek moyang dengan tuntutan keadilan alam sekitar masa kini.
"Kami berkumpul di sini dengan satu tujuan, iaitu untuk mendokumentasi dan mengetengahkan semua masalah yang dihadapi komuniti di sepanjang Sungai Amazon," kata aktivis Jorge Ivan Farinango.
Perjalanan itu merupakan sebahagian daripada Festival Muyuna, sebuah inisiatif tayangan filem terapung berkonsep hutan yang bermula di Loreto, Peru dan berfungsi sebagai platform advokasi dan pendedahan isu.
"Setiap tahun kami mengadakan tayangan dan bengkel di Amazon Peru, dan ia memberi penekanan kepada tuntutan masyarakat orang asli," kata pembikin filem Jimena Cariajano.
Sementara itu, Ketua Orang Asli dari negeri Amapa, Brazil, Wagner Karipuna, meluahkan kekecewaan terhadap keputusan terbaharu Institut Alam Sekitar Brazil (IBAMA) yang membenarkan penerokaan minyak di muara Sungai Amazon.
"Keputusan ini amat mengecewakan dan membangkitkan kemarahan masyarakat orang asli," tegasnya.
Menurut laporan Projek Pemantauan Amazon Andes (MAAP), Amazon kehilangan 4.5 juta hektar hutan asli akibat pembalakan haram dan kebakaran pada tahun 2024, menjadikannya tahun paling buruk dalam tempoh sedekad.
Selain itu, aktiviti pembalakan akibat perlombongan emas meningkat 50 peratus sejak 2018, dengan 36 peratus daripadanya berlaku dalam kawasan perlindungan dan wilayah orang asli.- VIORY