fb fb fb fb fb

Keputusan pelepasan air loji nuklear Fukushima esok

(Fumio Kishida semasa pertemuan dengan Masanobu Sakamoto dan
yang lain di Tokyo/REUTERS)

TOKYO, 21 Ogos- Kerajaan Jepun akan membuat keputusan esok mengenai pelepasan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke laut, kata seorang menteri kerajaan.

"Kami akan mengadakan mesyuarat menteri berkaitan esok untuk membuat keputusan mengenai permulaan pelepasan air selepas mengesahkan status usaha untuk memastikan keselamatan dan menangani kerosakan," kata Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yasutoshi Nishimura dalam sidang media di sini.

"Menteri berkaitan akan berbincang dan berkongsi maklumat mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil. Berdasarkan perbincangan ini, kami akan membuat keputusan," tambah beliau.

Semalam Perdana Menteri, Fumio Kishida semasa lawatan ke loji tenaga nuklear itu berkata, tiada tarikh ditetapkan.

Sekitar 1.34 juta tan air, bersamaan kapasiti lebih 500 kolam renang Olimpik, telah terkumpul sejak loji Fukushima runtuh akibat gempa bumi dan tsunami yang mengorbankan 18,000 orang pada 2011.

Pengendali loji TEPCO mengatakan bahawa dengan kira-kira 1,000 tangki keluli penuh dengan air, ruang telah kehabisan dan pihaknya merancang untuk mula membuang air secara beransur-ansur ke Lautan Pasifik melalui paip bawah air. -AFP

(Masanobu Sakamoto ketika sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri
Jepun Fumio Kishida/ REUTERS)

Media Baharu