TEHRAN, 4 Ogos- Pengawal Revolusi Iran memaklumkan Israel membunuh Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh menggunakan peluru berpandu jarak dekat yang dilancarkan dari luar penginapannya di Tehran.
Menerusi satu kenyataan, tentera Iran itu berkata operasi pengganas itu dilakukan dengan melepaskan peluru jarak dekat dengan kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram.
Ia menambah, Israel disokong oleh Amerika Syarikat dalam serangan itu.
Ismail Haniyeh dibunuh awal Rabu, selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu, Dr Masoud Pezeshkian.
Iran dan Hamas berikrar untuk membalas atas kematian Ismail Haniyeh.
Iran mengulangi tekad akan membalas dendam dan Israel akan menerima hukuman yang berat pada masa, tempat dan cara yang sesuai.
Sementara itu, Hamas pada Sabtu mengumumkan bahawa kepimpinannya memulakan proses untuk memilih ketua biro politik yang baharu selepas pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran.
Menurut kenyataan itu, pembunuhan Haniyeh hanya menjadikan Hamas dan penentangan Palestin lebih kuat dan lebih berazam untuk meneruskan tindakannya.
Hamas berkata hasil rundingan akan diumumkan kelak.
Haniyeh dibunuh pada awal Rabu selepas menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Pengawal peribadi Haniyeh turut terbunuh dalam kejadian itu.