fb fb fb fb fb

Kekurangan zat makanan kanak-kanak kritikal di Yaman- UNICEF

Foto AFP

DUBAI, 19 Ogos- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran berhubung kekurangan zat makanan kanak-kanak yang amat kritikal dan meningkat di Yaman.

Laporan terbaharu agensi itu mendedahkan, jumlah kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan akut meningkat 34 peratus, berbanding sebelum ini.

Situasi itu menjejaskan lebih 600,000 kanak-kanak, termasuk 120,000 mengalami kekurangan zat makanan yang sangat teruk.

Yaman telah dilanda konflik sejak 2014 antara kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, disokong oleh pakatan tentera diketuai Arab Saudi, dan kumpulan Huthi yang disokong Iran.

Konflik itu telah menjerumuskan negara termiskin di Semenanjung Arab ke dalam salah satu krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia.

"Peningkatan mendadak didorong oleh kesan wabak penyakit (taun dan campak), ketidakamanan makanan yang tinggi, akses terhad kepada air minuman selamat dan kemerosotan ekonomi," tambah agensi kanak-kanak PBB itu.

Data Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) meliputi 117 kawasan kawalan kerajaan dijangka mengalami tahap kekurangan zat makanan yang tinggi antara Julai dan Oktober.

Beberapa kawasan telah dikategorikan sebagai mempunyai tahap kekurangan zat makanan akut sangat kritikal, melebihi 30 peratus, buat kali pertama.

Wakil UNICEF di Yaman, Peter Hawkins berkata, peningkatan mendadak itu sangat membimbangkan.

Program Makanan Sedunia (WFP), pada masa ini terpaksa menyediakan catuan bersaiz lebih kecil, sekali gus menjadi isyarat bahawa nyawa menjadi taruhan," kata Pengarah WFP Yaman, Pierre Honnorat.-AFP

ROSLINA BINTI DIN