JAKARTA, 9 Disember – Satu kebakaran berlaku di sebuah bangunan tujuh tingkat di ibu kota Indonesia, di sini pada Selasa, dengan 20 mangsa disahkan maut manakala beberapa dikhuatiri masih terperangkap di dalam bangunan.
Ketua Polis Jakarta Pusat, Susatyo Purnomo Condro, memberitahu media bahawa api telah berjaya dipadamkan, namun operasi mencari mangsa yang masih berada di dalam bangunan sedang diteruskan.
Menurut beliau, kebakaran bermula di tingkat satu sekitar tengah hari sebelum merebak ke tingkat-tingkat atas.
Ketika kejadian, sebahagian pekerja sedang berehat makan tengah hari di dalam bangunan, manakala sebahagian lagi keluar meninggalkan pejabat.
"Setakat petang ini, jumlah korban mencecah 20 orang dan pihak kami kini memberi tumpuan kepada usaha mengeluarkan mangsa serta kerja-kerja penyejukan kawasan kebakaran," katanya.
Bangunan tersebut menempatkan pejabat Terra Drone Indonesia, syarikat yang menyediakan perkhidmatan dron untuk aktiviti tinjauan udara bagi pelanggan dalam sektor perlombongan hingga pertanian.
Menurut laman sesawang syarikat itu, Terra Drone Indonesia menerima pembiayaan daripada firma dron Jepun, Terra Drone Corporation 278A.T.
Rakaman disiarkan Kompas TV menunjukkan puluhan anggota bomba berusaha membawa keluar mangsa, termasuk beberapa mangsa yang diusung dalam beg mayat.
Sebahagian pekerja turut dilihat cuba menyelamatkan diri dari tingkat atas bangunan ketika api marak.- REUTERS