fb fb fb fb fb

Kanada, EU meterai Perjanjian Pemindahan, Pemprosesan Data Rekod Nama Penumpang

Foto hiasan

WASHINGTON, 4 Oktober- Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) telah memeterai perjanjian mengenai Pemindahan dan Pemprosesan Data Rekod Nama Penumpang (PNR), kata Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada pada Jumaat, lapor Sputnik.

Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan pada November 2023 bahawa Kanada dan EU telah menyelesaikan rundingan untuk pemindahan dan pemprosesan data berkenaan.

“Hari ini, Kerajaan Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pemeteraian Perjanjian Pemindahan dan Pemprosesan Data Rekod Nama Penumpang (PNR),” kata agensi itu dalam kenyataan akhbar.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Keselamatan Awam Dominic Leblanc dan Pesuruhjaya EU bagi Migrasi dan Hal Ehwal Dalam Negeri Ylva Johansson di luar Mesyuarat Menteri Dalam Negeri Kumpulan Tujuh di Itali, menurut kenyataan itu.

Kanada dan EU kini telah mewujudkan asas undang-undang untuk pemindahan data PNR daripada penerbangan yang berlepas dari wilayah EU yang akan membantu kerjasama penguatkuasaan, menurut kenyataan itu.

“Data PNR penting dalam membantu Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) menilai risiko terhadap pengembara sebelum ketibaan mereka di Kanada untuk mengenal pasti potensi ancaman keselamatan,” katanya.

Perkongsian dan pemprosesan data PNR boleh membantu agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengenal pasti lebih awal penumpang yang mungkin terlibat dalam keganasan atau jenayah rentas sempadan yang serius, antara lain, menurutnya lagi.-BERNAMA-SPUTNIK

ROSLINA BINTI DIN