WASHINGTON, 25 Mei - Kanada dan Arab Saudi bersetuju memulihkan hubungan diplomatik mereka dengan melantik duta masing-masing, sekali gus menamatkan pertikaian sejak 2018, lapor Sputnik memetik Global Affairs pada Rabu.
"Keputusan dicapai untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi ke tahap sebelumnya," menurut Kementerian Luar Kanada dalam satu kenyataan.
Keputusan itu dicapai susulan pertemuan antara Perdana Menteri Justin Trudeau dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Bangkok pada November 2022.
Menurut kenyataan itu, Kanada melantik Jean-Philippe Linteau sebagai duta barunya ke Riyadh.
Kementerian Luar Arab Saudi pada Rabu mengesahkan hubungan diplomatik dengan Kanada telah dipulihkan.
Pada Ogos 2018, Arab Saudi menurunkan hubungan diplomatik dengan Kanada selepas negara itu menggesa Riyadh 'membebaskan segera' aktivis hak wanita yang dipenjara.
Sebagai tindak balas kepada 'campur tangan' dalam hal ehwal dalam negerinya, Riyadh mengusir duta Kanada, menamatkan penerbangan terus syarikat penerbangan negaranya ke Toronto serta menghentikan import gandum dan barli Kanada.
Riyadh turut membekukan hubungan perdagangan dan pelaburan baharu dengan Ottawa selain mewajibkan pelajar Arab Saudi supaya berpindah ke negara lain. - BERNAMA-SPUTNIK