LOS ANGELES, 25 Mei - Taufan Mawar yang melanda Guam mengakibatkan bekalan elektrik terputus dengan gelombang ribut yang kuat sekali gus merosakkan bangunan dan kediaman penduduk setempat.
Gabenor Guam, Lou Leon Guerrero menerusi kenyataan berkata, pihaknya dan agensi pertahanan awam akan meninjau sebarang kerosakan di kawasan terjejas sebaik keadaan membenarkan.
Ia termasuk mengenal pasti sebarang kerosakan besar atau jalan raya yang mengalami kerosakan susulan bencana itu.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS melaporkan Taufan Mawar membawa angin kuat sehingga 225 kilometer sejam dan menghasilkan ombak setinggi sembilan meter.
(Keadaan di Guam ketika Taufan Mawar membadai kepulauan itu)
Bagaimanapun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Dalam pada itu, sebuah hotel 30 tingkat yang mampu memuatkan 300 tetamu di pulau Dusit Thani Guam Resort turut dibadai taufan.
NWS menyifatkan Taufan Mawar bertaraf 'Super' dan menjangkakan taufan itu mula menuju ke Taiwan atau Filipina.
Agensi itu berkata, Guam kekal di bawah amaran taufan dengan ramalan tiupan angin kencang yang boleh membawa kerosakan serta ombak besar.
Selain itu keadaan lautan juga masih berbahaya termasuk untuk kapal besar.