MADINAH, 25 Mei - Seramai 14 muzawir muda bertugas sebagai ahli jawatankuasa atau pembimbing ibadah haji bagi aktiviti Dakwah Ziarah Luar di kota ini sebagai tempat persinggahan awal sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji.
Penglibatan khidmat pelajar Malaysia di universiti-universiti di Madinah banyak membantu jemaah haji di sekitar kota ini sempena program Ziarah Luar yang diatur Lembaga Tabung Haji (TH).
Ia merupakan kerjasama antara Persatuan Mahasiswa Malaysia - Arab Saudi cawangan Madinah dengan TH selama 17 tahun yang menjadi medan anak-anak muda dalam mengasah kemahiran berinteraksi.
Setiap jemaah akan dibahagi mengikut kumpulan, seterusnya diketuai seorang muzawir untuk perkongsian ilmu mengenai lokasi yang dilawati.
Bagaimanapun berbanding pelajar senior, Muzawir muda hanya bertindak sebagai pembantu sekiranya jemaah bertanya soalan.
Kebanyakan mereka baru menjadi pelajar di Madinah selama setahun.
Muzawir muda, Ahmad Syirazi Iqbal Ahmad Zaki akui terharu kerana jemaah memberi kepercayaan kepada mereka sebahagian yang mengikuti program Ziarah Luar yang diatur TH.
Pembimbing jemaah, Luqman Hakim Syahbudin yang ditemui RTM berkata dia bersyukur kerana dapat berkhidmat membantu para jemaah menunaikan haji sekali gus memanfaatkan peluang yang ada untuk dia berlatih dalam menguruskan jemaah haji di Malaysia nanti.
Antara lokasi persinggahan para jemaah adalah Masjid Quba', Ladang Kurma Majid dan Ziarah Uhud.
Ia merupakan aktiviti para jemaah haji bagi fasa satu yang mendarat di Madinah.