fb fb fb fb fb

Jordan kecam Israel atas pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Jabalia

Orang awam yang syahid di kem pelarian Jabalia semalam/AFP

AMMAN, 1 November- Jordan mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai oleh zionis Israel di kem pelarian di Jabalia, utara Gaza yang mengakibatkan ratusan orang awam terkorban, baru-baru ini.

Memetik laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat negara itu turut mengutuk serangan berterusan Israel di Tebing Barat, serta peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh warga penjajah tersebut.

Jurucakapnya, Sufian Al-Qudah menegaskan tindakan zionis berkenaan adalah bertentangan dengan semua nilai kemanusiaan dan etika, serta melanggar peraturan undang-undang kemanusiaan antarabangsa khususnya Konvensyen Geneva Keempat.

Ia juga menekankan kepentingan mematuhi resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perlindungan orang awam.

Jordan turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dan menghalang Israel daripada melakukan jenayah selanjutnya terhadap orang awam, serta menamatkan perang 'tidak masuk akalnya' di Gaza.

Sementara itu, agensi berita antarabangsa, AFP melaporkan kem pelarian di Jabalia telah dibom zionis semalam.

SITI AISHAH BINTI MD ISA