fb fb fb fb fb

Jet Tentera Korea Selatan tersilap jatuhkan 8 bom, cederakan orang awam

FOTO AFP

POCHEON, 6 Mac- Tentera Udara Korea Selatan pada Khamis memaklumkan bahawa salah satu jet pejuangnya secara tidak sengaja telah melepaskan lapan bom di lokasi yang salah semasa latihan, menyebabkan kecederaan kepada orang awam.

"Lapan bom MK-82 jenis serbaguna telah dilepaskan secara tidak normal dari pesawat KF-16 Tentera Udara, dan jatuh di luar kawasan tembakan yang ditetapkan," kata tentera udara, sambil menambah bahawa mereka amat kesal dengan insiden tersebut yang mengakibatkan kecederaan kepada orang awam.

Sekurang-kurangnya lapan orang cedera pada Khamis selepas sebutir bom jatuh di kawasan kediaman awam, merosakkan beberapa rumah dan sebuah gereja ketika latihan ketenteraan di Pocheon, Korea Selatan, menurut seorang pegawai bomba.

Seorang pegawai dari Perkhidmatan Bomba Bukbu Gyeonggi-do memaklumkan bahawa daripada lapan mangsa yang cedera, empat daripadanya parah.

Pocheon terletak kira-kira 40 kilometer di timur laut Seoul dan berhampiran sempadan yang diperkukuh ketenteraannya dengan Korea Utara.

Pegawai bomba tersebut mengesyaki bahawa bom yang jatuh di bandar itu berpunca daripada latihan ketenteraan bersama yang sedang berlangsung antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Beberapa gambar yang dikongsi agensi berita News1 dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah rumah mengalami kerosakan teruk dengan serpihan berselerakan di tanah berdekatan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan belum memberikan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Terdahulu pada Khamis, kementerian itu mengesahkan bahawa pasukan tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan peluru hidup di Pocheon, sebahagian daripada siri latihan tahunan yang dijadualkan bermula minggu hadapan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE