fb fb fb fb fb

Jepun luluskan belanjawan pertahanan sebanyak AS$56b

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida / Foto AFP

TOKYO, 22 Disember - Jepun pada Jumaat meluluskan belanjawan pertahanan bernilai AS$56 bilion untuk tahun fiskal akan datang, ketika ketegangan meningkat dengan China dan Korea Utara.

Draf bajet 7.95 trilion yen (AS$56 bilion) untuk tahun fiskal 2024-25 telah diluluskan oleh kabinet sejajar dengan ikrar Perdana Menteri, Fumio Kishida untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dalam beberapa tahun akan datang.

Jepun mempunyai perlembagaan pacifis selepas perang, yang mengehadkan kapasiti ketenteraannya kepada langkah-langkah pertahanan.

Namun, mengemas kini dasar keselamatan dan pertahanan utama tahun lepas, dengan menggariskan cabaran yang ditimbulkan oleh China dan menetapkan matlamat menggandakan perbelanjaan pertahanan kepada standard Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2027.

Belanjawan pertahanan yang diumumkan pada Jumaat termasuk 370 bilion yen untuk membina dua kapal perang baharu yang dilengkapi dengan sistem pertahanan peluru berpandu Aegis yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS).

Jepun juga merancang untuk membelanjakan 734 bilion yen untuk meningkatkan kapasiti pertahanan "stand-off" negara seperti pembelian peluru berpandu dan kira-kira 75 bilion yen akan digunakan untuk pembangunan bersama pemintas untuk menembak jatuh peluru berpandu hipersonik.

Belanjawan itu juga termasuk kos yang dipersetujui Jepun untuk membayar kepada Amerika Syarikat berhubung penempatan semula tentera AS di Jepun.

Belanjawan pertahanan merupakan sebahagian daripada 112.07 trilion yen (AS$787 bilion) Jepun yang dirancang untuk dibelanjakan untuk tahun fiskal akan datang, turun daripada 114.4 trilion yen pada tahun sebelumnya.

Jepun mahu meluaskan kapasiti pertahanan negara itu secara dramatik kerana bimbang dengan usaha ketenteraan China yang semakin meluas.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga telah mencetuskan kebimbangan bahawa China mungkin akan mengambil alih Taiwan, sebuah demokrasi yang ditadbir sendiri yang didakwa oleh Beijing.

Pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan kemungkinan ujian nuklear pada masa hadapan juga telah mendorong Jepun untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanannya.

Pada awal tahun ini, Kishida berkata Jepun akan membeli 400 peluru berpandu Tomahawk dari Amerika Syarikat.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN