fb fb fb fb fb

Jepun kutuk, bantah pelancaran peluru berpandu Korea Utara

Yoshimasa Hayashi/ AFP

TOKYO, 8 Mei- Jepun mengutuk sekeras-kerasnya Korea Utara selepas negara itu melancarkan peluru berpandu balistik pada Khamis yang mungkin terbang pada trajektori tidak teratur.

Jurucakap Kerajaan Jepun Yoshimasa Hayashi berkata salah satu peluru berpandu menjangkau kira-kira 800 kilometer dengan ketinggian maksimum kira-kira 100 kilometer, dan jatuh di Laut Jepun di timur Semenanjung Korea, di luar Zon Ekonomi Eksklusif Jepun.

"Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari pantai timur Korea Utara ke arah timur laut antara 8.00 dan 9.00 pagi hari ini.

"Butiran sedang dianalisis dengan kerjasama erat antara Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Salah satu peluru berpandu balistik dilancarkan sekitar 9.20 pagi hari ini dan terbang kira-kira 800 kilometer dengan ketinggian maksimum kira-kira 100 kilometer," katanya.

Jepun telah membuat bantahan tersebut melalui kedutaan di Beijing.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengharamkan program peluru berpandu balistik Korea Utara bersenjata nuklear, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini Pyongyang dalam usaha membangunkan peluru berpandu dari pelbagai jarak.

"Tindakan Korea Utara, termasuk pelancaran peluru berpandu balistik secara berulang, mengancam keamanan dan keselamatan rantau Jepun dan masyarakat antarabangsa.

"Pelancaran peluru berpandu balistik tersebut melanggar resolusi UNSC berkaitan dan merupakan isu serius mengenai keselamatan rakyat Jepun. Jepun mengecam sekeras-kerasnya pelancaran ini, membantah tindakan Korea Utara melalui kedutaan di Beijing," katanya lagi.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI