fb fb fb fb fb

Jepun janji sumbang kepada keamanan di Gaza

Penunjuk perasaan berkumpul untuk perhimpunan menyokong rakyat Palestin di Gaza di Taman Peringatan Keamanan Hiroshima, di Hiroshima, Jepun, pada 12 Oktober 2024/ REUTERS

KARACHI (Pakistan), 24 Oktober- Jepun pada Khamis menegaskan sokongan “konsistennya” terhadap penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan konflik Palestin-lsrael serta berjanji bahawa Tokyo akan menyumbang kepada kemajuan proses damai di Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu.

Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa, Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan di Gaza, serta menjelaskan usaha diplomatik Tokyo dan “sumbangan” kemanusiaan di rantau itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Jepun.

Iwaya turut menyatakan keprihatinan serius terhadap keadaan di Tebing Barat serta menyuarakan tekad Jepun untuk memainkan peranan dalam pemulihan dan fasa awal pembinaan semula yang akan datang.

Beliau juga menyatakan sokongan Jepun terhadap pelaksanaan pembaharuan yang stabil oleh Pihak Berkuasa Palestin.

Sementara itu, Mustafa, yang juga Menteri Luar, menghargai komitmen “kuat” Jepun terhadap keamanan di Timur Tengah.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam menangani situasi di Timur Tengah dan mencapai keamanan di rantau itu, menurut kenyataan berkenaan.

Tentera Israel meneruskan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lepas, walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi yang menggesa gencatan senjata segera.

Sejak itu, lebih 42,800 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,500 orang lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel di Gaza menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.

Sejak 1 Okt tahun ini, Israel memperluas konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan.

Sekurang-kurangnya 2,574 orang terbunuh dan lebih 12,000 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober tahun lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.- BERNAMA-ANADOLU

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI