JAKARTA, 7 Februari- Pakar epidemiologi Australia di Universiti Griffith, Dicky Budiman, menggesa orang ramai supaya tidak menyamakan simptom COVID-19 dengan tanda demam selesema biasa.
Beliau mengakui bahawa terdapat persamaan antara gejala wabak itu dengan demam selesema seperti batuk, hidung berair dan juga demam.
Namun jelasnya, terdapat perbezaan di mana pesakit yang dijangkiti COVID-19 mengalami masalah olfaktori (berkaitan dengan deria bau), meskipun pesakit Omicron jarang mengalami simptom sedemikian.
Varian Omicron pula lebih mudah berjangkit dan lebih pantas merebak berbanding demam selesema biasa.
"Simptom yang serupa demam selesema memang wujud. Namun, ia bukan demam selesema. Kita perlu tahu bahawa semua penyakit yang teruk sebegini adalah seperti demam selesema. Ia dikenali sebagai penyakit yang serupa dengan demam selesema," menurutnya lagi.
Dicky turut menekankan sebarang varian COVID-19 tidak boleh merebak secara semula jadi, dan ia memerlukan perantara untuk menjangkiti orang lain.
Jika orang ramai tidak mengehadkan kegiatan mereka dan melaksanakan protokol kesihatan dengan tegas, penularan COVID-19 akan menjadi semakin tidak terkawal.
Pakar epidemiologi itu juga menerangkan bahawa COVID-19 membawa kesan jangka panjang yang boleh menurunkan mutu kesihatan awam.
Jika ia berlarutan, pandemik ini akan membebankan ekonomi negara. -AFP