fb fb fb fb fb

Israel terus serang Palestin, lagi penduduk terbunuh

Foto AFP

JENIN, 30 Ogos- Tentera Israel meneruskan serangan ketenteraan di bandar Jenin dan kem pelarian di utara Tebing Barat untuk hari ketiga berturut-turut.

Menurut saksi, Israel terus menyerbu kem pelarian, kawasan timur dan bandar Zababdeh.

Israel mengepung rumah, menjalankan pemeriksaan, dan menyoal siasat sebilangan besar penduduk.

"Bunyi letupan berlaku di beberapa kawasan di Jenin. Pasukan pengganas (Israel) turut membawa jentolak bagi memusnahkan infrastruktur dan kenderaan di bandar dan kem tersebut," kata saksi kepada AFP di sini.

Di bandar Zababdeh berhampiran Jenin, seorang penduduk tempatan, Ahmed Turkman memberitahu bahawa tentera Israel memasuki bandar itu, melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pemuda dan membakar sebuah kenderaan Palestin.

"Kami menemukan kesan darah di atas tanah selepas tentera (Israel) berundur," tambah Turkman.

Di Tulkarm, saksi memberitahu Anadolu bahawa tentera Israel berundur dari kawasan itu semalam selepas serangan ketenteraan yang berlangsung selama lebih 48 jam.

"Tentera Israel berundur dari bandar tersebut dengan empat orang terbunuh, beberapa cedera dan membawa kerosakan besar kepada infrastruktur," katanya.

Pada Rabu lalu, tentera Israel melancarkan serangan ketenteraan terbesar sejak 2002 di bandar Tulkarm dan Jenin, serta di kem pelarian Al Fara berhampiran Tubas sehingga mengorbankan 16 rakyat Palestin.

Tentera Israel berundur dari kem Al Fara pada Khamis selepas operasi selama 30 jam.

Ketegangan telah memuncak di seluruh Tebing Barat di tengah-tengah serangan kejam Israel ke atas Gaza, yang telah membunuh lebih 40,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober tahun lalu. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM